iklan header

Makna Kuku Kambing, Alat Tradisional Pesawah Zaman Dahulu

TaraHap - Pernahkah Anda mendengar istilah kuku kambing? Di negeri kita terdapat 2 makna perkataan kuku kambing dalam bahasa Malaysia.

Makna Kuku Kambing, Alat Tradisional Pesawah Zaman Dahulu
mobile.carousell.com

Maksud pertama yang sering difahami ialah kuku kambing sebenar yang terdapat pada kaki kambing dibahagian bawah kaki. Maksud kedua yang mana mungkin golongan generasi muda tidak pernah lihat adalah merupakan sejenis alat yang di perbuat dari besi dan kayu yang digunakan oleh pesawah untuk aktiviti menanam atau disebelah utara sebagai alat mencedung anak benih padi.

Kuku kambing merupakan salah satu perkakasan tradisional yang digunakan oleh masyarakat petani bagi proses penanaman anakbenih padi di sawah pada saat waktu dulu.

Pada zaman dahulu tidak 'sah' seorang pesawah jika tidak mempunyai Kuku Kambing. Tiada kuku kambing sama seperti tiada telefon bimbit pintar zaman kini.

Malah, Kuku Kambing itu juga mempunyai rekabentuk tertentu... Kuku kambing diperbuat daripada besi dan hulunya daripada kayu dan ada juga daripada besi.

Pada zaman dahulu, pemegang Kuku Kambing diperbuat daripada kayu yang sama seperti batang cangkul. Namun sejak awal 80an, kuku kambing berpemegang plastik dan besi telah diperkenalkan.

Ia mempunyai mata yang bercabang dua dihujungnya bagi menyelitkan anak padi dan akan ditekan ke dalam tanah untuk ditanam. Ini dapat mempercepatkan proses penanaman anak padi dan memudahkan petani membuat penanaman yang teratur ke atas tapak penanaman.

Kepakaran penanam padi ini menentukan anakbenih padi tersebut benar-benar bahagian akar di tusuk masuk kedalam tanah untuk proses pembesaran.

Kuku Kambing sebenarnya berbahaya, sama seperti pisau. Jika tersalah guna, kemalangan akan berlaku sama seperti pisau yang terpotong jari makanya terluka. Pesawah biasanya tidak berkasut ketika di dalam sawah.

Oleh kerana menanam padi menggunakan Kuku Kambing dilakukan dengan sawah dipenuhi air, air sawah yang berselut itu akan keruh. Makanya, tak nampaklah jari-jari kaki.

Jika tersilap cucuk, Kuku Kambing akan mencucuk anak padi ke kaki. Kemalangan seperti ini pernah berlaku walau pun amat jarang didengar. Biasanya, kemalangan yang banyak terjadi ketika musim menanam menggunakan Kuku Kambing ialah sakit pinggang.

Menanam menggunakan Kuku Kambing memerlukan pesawah itu membongkokkan badannya seperti 'rukuk' ketika bersolat. Bayangkanlah, seorang pesawah terpaksa tunduk menanam padi yang luassnya berekar-ekar itu setiap hari sehinggalah siap.

Itulah sebabnya dikala musim padi hampir setiap orang akan berbau minyak angin atau minyak panas. Manakala setiap rumah pesawah memang sentiasa ada minyak urut panas ini. Disebabkan itulah juga 'menjual minyak urut' di pekan sehari atau pasar tani (gelaran sekarang ini) ada banyak.

Kuku kambing sekarang ini tidaklah sepopular berbelas atau berpuluh tahun lampau. Bukannya tidak ada tetapi penggunaannya amat sedikit. Ramai pesawah yang menggunakan proses menanam padi secara tabur-benih, yakni biji padi tadi akan ditaburkan terus di dalam sawah yang berselut.

Sama ada tabur-kering atau tabur-basah. Tabur-kering bermakna air sawah dikeringkan dahulu barulah biji padi ditaburkan.
Tabur-basah bermakna air sawah digenangkan dan biji padi ditaburkan. Kedua-duanya mempunyai pros dan kontra.

Kerana itulah, Kuku Kambing tidak lagi digunakan. Kalau digunakan pun, ianya hanyalah untuk aktiviti 'menyulam' iaitu mengubahkan anak padi yang tumbuh rapat-rapat ke kawasan yang 'botak' atau tidak banyak anak padi yang tumbuh.

Kuku Kambing biasanya ada dijual di kedai-kedai pertanian pada waktu itu dengan harga yang sangat murah dan tahan bertahun-tahun. Ada pesawah yang menempah khas alat tersebut dari tukang besi mengikut rekabentuk dan kesukaan masing-masing.

Kerja menanam padi pada waktu itu kebanyakannya dijalankan oleh golongan wanita yang dibuat secara bergotong-royong atau 'Berderau'.

Menggunakan kaedah tradi­sional, mereka menyemai benih, menanam padi menggunakan kuku kambing dan apabila padi sudah masak, mereka mengerat padi dan membanting padi sehingga lerai dari tangkainya.

Perlaksanaan program menanam akan bermula dari satu tuan tanah kepada tuan tanah yang lain secara bergilir-gilir sehingga keseluruhan blok sawah padi selesai menanam.

Beberapa orang akan berpakat untuk bersama-sama menanam padi menggunakan kuku kambing. Minggu ini, 'berderau' di sawah Kak Ani, minggu depan 'berderau' di sawah Kak Limah dan minggu depannya pula di sawah Kak Siti. Biasanya, tuan sawah akan turut menyediakan juadah alas perut seperti ubi rebus dengan ikan masin tamban atau nasi lemak telur dadar... dan air kopi.

Biasanya, aktiviti 'berderau' ini dibilang mengikut hari. Ini kerana luas sawah masing-masing bukannya sama.

Jika kak Ani dan Kak Limah 'berderau' selama 3 hari di sawah Kak Siti, maka nanti Kak Siti akan 'berderau' di sawah Kak Ani dan Kak Limah sebanyak 3 hari masing-masing.

Jika 3 hari di sawah Kak Limah tidak cukup untuk siapkan menanam padi kerana sawahnya lebih luas, Kak Limah masih boleh meminta Kak Siti untuk menanam padi tetapi akan dibayar lebih kurang RM8 sepagi, kalau tak silap, pada ketika itu.

Ahli Unit Pertubuhan Peladang Parit Tok Ngah Darat, Ayub Rasuli berkata, bergotong-royong menanam padi atau ‘berderau’ sudah hampir pupus namun ada pesawah masih mengekalkan cara lama.

Katanya, padi yang ditanam cara lama mempunyai banyak kelebihan antaranya dapat mengelak diserang ulat bena perang. Selain itu, tanaman padi juga lebih tahan berendam di dalam air kerana anak padi yang ditanam menggunakan kuku kambing sudah keras dan tidak mudah lembik.

Cara ini juga dapat mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan pesawah kerana mereka bergotong-royong menanam padi.

Ini juga mengurangkan kos berbanding jika mengupah orang menanam padi. Penggunaan cara lama menanam padi memberi peluang kepada generasi muda melihat bagaimana orang dahulu mengusahakan sawah.

Orang dahulu menanam atau istilah lain mengubah padi ini dibuat dalam keadaan badan membongkok. Bayangkan jika menanam seluas 10-20 hektar setiap blok satu musim, berapa banyak kali pesawah kena berdiri dan membongkok untuk menanam padi?

Itu adalah kaedah menanam padi yang dijalankan oleh datu nenek kita sejak beatus-ratus tahun dulu. Peranan kuku kambing dalam industri padi masa itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Kini kita rasa kesian kepada saudara kita si 'KUKU KAMBING' ini yang telah bersara apabila kaedah penanaman padi telah berubah kepada kaedah penanaman 'TABUR TERUS' atau dalam bahasa Inggeris kaedah 'Direct Seeding'.

Teknologi ini yang diperkenalkan pada sekitar tahun 1980'an sesuai dengan keperluan sistem ini yang perlukan permukaan tanah sawah yang rata dan sistem penyebaran air yang boleh dikawal dengan sempurna.

Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untu memperbaiki sistem sawah padi di Malaysia untuk menggunakan sistem tanaman padi tabur terus. Pada masa itu saudara kita kuku kambing memang telah uzur dan mula berpencen secara berperingkat-peringkat.

Kalau kita hendak lihat atau jumpa kuku kambing boleh berkunjung ke muzeum-muzeum yang ada membuat pameran berkaitan pertanian dan alatan pertanian.

Dalam perayaan Hari Peladang dan Nelayan yang di adakan setiap tahun kadang-kadng ada di pamerkan gambar atau alatan sebebar kuku kambing.

Bila kita renung kembali alat kuku kambing dengan pengkisahan saya diatas dapat kita bayangkan setiap biji beras dan nasi yang kita makan pada waktu itu datang dari pokok padi yang ditanam menggunakan khidmat kuku kambing yang terus taat membantu pesawah dalam proses penanaman padi.

Selamat mengenang kembali saudara kita yang telah lama dilupakan iaitu 'Kuku Kambing'. Wasallam...

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel